![]() | |
KUMPULAN Sepah menjadi juara sulung program Maharaja Lawak yang menghimpunkan juara-juara dari program Raja Lawak terdahulu. |
TIDAK dinafikan persaingan akhir yang membabitkan keempat-empat peserta pada malam final Maharaja Lawak pada malam Jumaat lalu berlangsung dalam keadaan yang cukup sengit kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri untuk muncul juara.

Nabil yang muncul satu-satunya sebagai peserta solo pula tidak boleh diketepikan memandangkan pernah dinobatkan sebagai bintang paling popular dan Jambu yang pada awalnya langsung tidak mendapat perhatian secara tiba-tiba sering tampil dengan aksi yang begitu menghiburkan saban minggu.
Namun, kejayaan Sepah untuk merangkul gelaran Maharaja Lawak adalah sesuatu yang cukup mengejutkan. Pesaing mereka iaitu Jozan sebenarnya dilihat sebagai calon pilihan untuk muncul sebagai juara sejak minggu yang pertama.
Malah, sebelum saingan akhir bermula, Jozan terus mendominasi kedudukan teratas menerusi undian yang diperolehi sebanyak 32 peratus, diikuti dengan Sepah (28 peratus), Nabil (25 peratus) dan Jambu (13 peratus).
Bagaimanapun, jangkaan awal ramai peminat untuk melihat Jozan merangkul gelaran Maharaja Lawak ternyata meleset sebaik Sepah diumumkan sebagai juara, manakala Jozan sekadar muncul naib juara, Nabil berada di tangga ketiga dan Jambu sekadar berpuas hati di tangga keempat.
Ternyata kejayaan Sepah yang dianggotai tiga orang anak muda iaitu Mohd. Noor Murad (Mamat), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jeff) itu tidak boleh disangkal berdasarkan kedua-dua persembahan pada malam tersebut.
Ditemui pada sesi sidang akhbar yang berlangsung selepas acara berakhir, Jeff yang mewakili rakan-rakannya dalam kumpulan Sepah berkata, mereka sebenarnya sangat terkejut dengan kejayaan yang diraih itu.
Menurut Jeff, kumpulannya itu sememangnya tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi untuk bergelar juara memandangkan persaingan ketiga-tiga peserta yang turut memberi saingan sengit.
“Berjaya sehingga ke peringkat akhir adalah satu kejayaan yang cukup besar buat kami. Walaupun merasai sedikit tekanan, namun kami hanya mampu untuk melakukan dengan sebaik mungkin menerusi peluang yang telah diberi.
“Alhamdulillah, atas berkat doa kami yang tidak putus-putus akhirnya Allah telah memakbulkan doa kami untuk bergelar juara. Pada kami sudah tentu ini merupakan satu kejayaan yang tidak dijangka sama sekali,” jelasnya.
![]() |
KESINAMBUNGAN cerita dari minggu sebelum final dibawa ke peringkat final yang berjaya mencuri hati peminat mengundi Sepah. |
Menurutnya, matlamat awal mereka untuk menyertai rancangan Maharaja Lawak ini adalah mahu menghiburkan orang ramai dan sekadar menanam impian untuk beraksi sehingga ke peringkat akhir sahaja.
Ditanya mengenai dirinya yang sempat mengalirkan air mata sebaik Sepah diumumkan sebagai juara, Jeff menjelaskan dia sebenarnya merasa sangat terharu atas kejayaan yang telah diberikan oleh-Nya.
“Adakalanya sebagai seorang manusia biasa, saya tidak nafikan sering lalai untuk melaksanakan segala suruhan yang diwajibkan. Bagaimanapun, kami masih diberikan rezeki untuk bergelar juara dan itu yang membuat saya rasa terharu.
![]() |
Tahniah Sepah! |
Berita Lanjut Klik Sini
No comments:
Post a Comment